Saturday, 28 November 2009

Manis itu sweet.

Pertemuan dua insan kadangkala adalah suatu yang rambang dan tidak dijangka malah ada yang mengatakan ia adalah kebetulan dalam sebuah kehidupan. Perkenalan antara dua insan adalah  apa yang terjadi selepas pertemuan. Perkenalan tidak lebih dari mengenali hati budi masing-masing dan juga  berkongsi pengalaman sebuah kehidupan tidak kira kisah lama atau kisah masa hadapan. Apabila kata-kata diluahkan, muncul rasa suka sama suka. Dan kadangkala ia juga menjurus kepada perasaan cinta yang kita sendiri tidak jangka, dan seperti itu jugalah sebagaimana kita mendefinisi tentang erti sebuah pertemuan.

Kehadiran seseorang istimewa dalam hidup adalah suatu norma kehidupan insan biasa. Sedangkan Allah jadikan Hawa untuk menemani Adam sebagai penyeri hidup dan juga menemani hidupnya. Kita semua manusia biasa. Manusia biasa yang tidak lari dari perasaan cinta, perasaan sayang, perasaan kasih dan sebagainya. Namun begitu, adalah sesuatu norma kehidupan juga jika ada datang dan pergi dalam sebuah pertemuan. Sebagai manusia, apa yang kita tahu hanyalah ia semua lumrah kehidupan insan biasa.

Hati yang baik dan ikhlas adalah sesuatu yang kita harus hargai. Hati yang ikhlas membawa erti kepada kejujuran dalam segala perilaku dan tutur kata yang ditunjukkan dalam keikhlasan tersebut. Persahabatan yang ikhlas juga bermakna segala baik dan buruk dapat kita terima dengan hati terbuka. Percayalah semua bahawa persahabatan yang ikhlas kadangkala boleh membawa kepada perasaan sayang dan kasih-mengasihi.

Kita manusia biasa, bukan yang Maha Berkuasa. Segala qada' dan qadar telah ditentukan dan kita hanyalah menjalankan apa yang sudah ditentukan. Usaha, doa dan tawakal sajalah yang hanya mampu kita lakukan. Setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya, dan setiap yang terjadi haruslah kita terima dengan hati yg terbuka. Manusia sering alpa bahawa semua ini hanyalah sementara. Ingatlah semua, kebahagiaan di dunia tidak kekal lama.

Kisah hidup kita haruslah kita tentukan sendiri, namun masih ada yang kita harus bergantung padaNya. Ingatlah sentiasa bahawa Dia tahu yang terbaik untuk kita. Usah lah bersedih, kerana esok masih ada dengan izinNya. Setiap yang baik datang daripada Tuhan, dan setiap yang buruk datang dari kelemahan diri ini. Setiap permulaan bermula dengan titik noktah sebuah permulaan yang lain.

Sahabat, aku tidak kemana, tetapi berdiri di sini mengenali dan mencari erti sebuah pertemuan yang ikhlas. Akhir kata, pertemuan kita bukan suatu kebetulan, malah suatu yang telah ditentukan olehNya...

Sekian.

Yang ikhlas,
Shahril Fauzi
28November2009.
 

1 comment: